Saturday, January 4, 2014

Golongan Muda Jangan Jadi Ejen Perpecahan Ummah



KADANG kala perkara yang nampak sempurna sebenarnya memudaratkan dan ada kala juga perkara yang nampak tidak sempurna sebenarnya mengandungi hikmah yang tersendiri. Contoh mudah diberi oleh seorang pakar dalam bidang permotoran jika anda ingin kereta anda selamat dari dicuri. Terutama kenderaan pacuan empat roda, caranya adalah dengan meletakkan kedudukan tayar hadapan dalam keadaan membelok. 

Sekali pandang orang akan mengatakan pemandu kenderaan tersebut sebagai pemandu lesen kedai kopi atau lesen terbang sedangkan apa yang dilakukan untuk menyelamatkan harta yang dibeli dengan susah payah dicuri penyangak tidak berperikemanusiaan. Jika tayar dalam keadaan sedemikian sukarlah ia ditunda atau dibuka kunci sterengnya.

Begitu juga dengan masalah yang dicetuskan oleh segerombolan manusia yang berniat menggulingkan kerajaan atas sebab permasalahan ekonomi pada majlis yang harmoni di dataran yang menjadi lambang kemerdekaan negara. Kekecohan semasa sambutan tahun baharu di Dataran Merdeka pada malam Rabu lalu sudah diduga akan berlaku. 

Bak kata pujangga jika tiada angin masakan pokok bergoyang dan jika tiada mesej di laman sosial tidak akan anak-anak muda sanggup beramai-ramai menyerbu majlis yang penuh tatatertib selaras semangat negara bangsa.

Sedarkah anak-anak muda kita dengan menghancurkan sistem bernegara yang harmoni ini kita akan merosakkan ekonomi sebagaimana yang berlaku di beberapa negara di dunia ini. Apa sudah jadi kepada Iraq, Mesir, Syria dan lain-lain negara yang terlibat dengan perang saudara di negara-negara Afrika. 

Kelemahan ekonomi menyebabkan kemiskinan dalam kalangan rakyat. Maka jangan berani bermimpi hendak bermain X-Box mahupun mengumpat majikan dalam kumpulan WhatApps dengan telefon pintar jika negara harmoni bertukar anarki akibat termakan dakyah menentang kenaikan kos hidup dengan cara yang tidak demokratik. 

Jika anak muda benar-benar mahu mengubah kerajaan pergilah ke Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) untuk mendaftar sebagai pemilih bukannya sibuk membuat kritikan dan aduan di laman sosial seolah-olah mereka lebih arif mentadbir ekonomi negara seperti beberapa kerajaan pembangkang di tiga negeri. Setakat menyambung legasi dan mengubah sistem yang ada ramai yang mampu maka jadilah ibarat ayam berkokok ekor dipenuhi najis. 

Ada duit boleh naik gaji dan beli kereta mewah baru dengan duit yang patut diguna untuk membantu rakyat. Apabila rezab habis, naikkan cukai pintu dan tanah. Ia bukan sesuatu yang salah dalam sistem ekonomi dan pentadbiran maka mengapa anak-anak muda yang reformis ini ada sikap double standard antara Kerajaan Pembangkang dan Kerajaan Barisan Nasional (BN). Cubalah berfikirlah seratus kali sebelum membuat satu tindakan merosakkan negara.

Kepada pemimpin di negara ini, anak muda perlu ditunjukkan contoh yang baik dalam membuat bantahan dalam sesuatu perkara. Kaedah memaki-hamun yang didominasi oleh sebuah parti yang sudah berubah matlamat dari akhirat ke dunia perlu diubah secara total. 

Anak muda perlu diberi jalan untuk menjadi pelapis kepimpinan negara sebagaimana sebuah rancangan terbitan tv swasta Pencetus Ummah yang mahu mendidik pendakwah atau daie yang kreatif dan mampu menarik orang ramai untuk menghayati Islam sebagai agama keamanan. 

Jika pemimpin sanggup mengajak orang muda membuat bantahan kepada sistem ekonomi dan politik negara maka apa lagi kita boleh harapkan daripada pemimpin parti yang menaunginya.

Justeru kepada anak-anak muda di luar sana pelajarilah sejarah dan jangan mendengar versi tawarikh pemimpin-pemimpin yang telah ditolak oleh pengundi-pengundi dan ahli partinya sendiri. Jangan juga termakan hasutan pemimpin-pemimpin muda yang tidak memanfaatkan peluang belajar dengan hanya pandai berkempen mengatakan kerajaan yang ada sebagai korup dan mementingkan kroni. 

Usia muda ini gunakanlah untuk menuntut ilmu dunia dan akhirat kerana jika ingin berjaya kita memerlukan tiga perkara iaitu 1. Ilmu 2. Ilmu 3. IImu. Sudah pasti tiada ruang untuk berjaya dengan cara demonstrasi, demonstrasi dan demonstrasi. 

Berfikirlah di luar kotak bukannya terus diperangkap di bawah ketayap semata-mata. Tidak semua kerajaan sempurna begitu juga manusia. Jika dengan berdemonstrasi boleh mengurangkan harga barang dan cukai pintu maka negara boleh berjimat-cermat untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-14. Itu pun kalau pemimpin pembangkang tak mahu lagi mencalit dakwat hitam di jari.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140103/re_02/Golongan-muda-jangan-jadi-ejen-perpecahan-ummah#ixzz2pR4wWTjW
© Utusan Melayu (M) Bhd



PENDATANG TANPA IZIN (PATI) MUNGKIN AKAN MENJADI SALAH SATU FAKTOR KEJATUHAN KERAJAAN UMNO/BN KELAK.

2 comments:

  1. Anak muda semmgnya idealistik, radikal, tergesa gesa, yg berusia yg berpengalaman sentiasalah beri tunjuk ajar dgn berhemah terutama kpd yg berjiwa keras dan aggresif.

    ReplyDelete